Luahan Kecewa Mentee Encik Azizan Osman
Loading...
Bang Zizan, aku terbaca kenyataan media mengenai isu kontroversi Ijazah Doktor Kehormat Bang Zizan sebentar tadi. Tapi secara jujurnya, aku kecewa la bang. Kecewa teruk dengan kenyataan abang tu. Tak menang la jawapan kau bang.
Berkali-kali aku baca agar aku tidak salah faham. Agar aku faham sepenuhnya apa yang Bang Zizan nak sampaikan. Tapi bang, tak ada satu pun permohonan maaf dalam kenyataan tu bang. Tiada satu pun.
Bang, aku nak tanya abang ni, susah ke bang memohon maaf? Agak-agak lah, kalau abang mohon maaf secara terbuka, luak ke duit abang kat bank tu? Ada berkurangan sejuta tak? Tak ada pun kan bang?
Tapi mungkin, bila kita makin dikenali, bila kita berharta dan ada nama, ungkapan maaf itu menjadi sukar. Kan bang?
Bang, aku tak pandai sangat nak memotivasikan orang macam abang buat. Cuma aku nak bagitahu kisah aku sikit bang. Kisah seorang guru sekolah rendah je pun bang. Oh, sebelum aku lupa, awal-awal aku cakap, aku cuma lepasan diploma je bang. Tak ada degree mahupun master. PhD macam abang jauh sekali lah.
Bang, dulu-dulu aku pernah silap mendenda murid (untuk mendidik). Setelah disiasat, rupanya murid itu tidak bersalah. Aku pun sama macam kau juga bang, rasa berat sangat nak mohon maaf pada murid tu di hadapan kelas. Sedangkan aku mendenda dia secara terbuka, disaksikan kawan-kawan kelas dia yang lain.
Ego bang. Rasa macam jatuh pula darjat seorang guru minta maaf pada seorang murid tahun 1 di depan semua murid lain. Kau tahu la bang, jadi cikgu ni umpama seorang raja di dalam negeri kecil. Dalam kelas tu aku paling berkuasa. Apa yang aku cakap, murid semua mengiyakan.
Dan ya, sangat sukar memohon maaf di hadapan kelas. Tambah-tambah kepada budak kecil. Kalau aku tak minta maaf pun, tak ada orang tahu pun. Tak ada orang marah pun. Tapi aku sedar bang, murid itu pasti berkecil hati jika aku teruskan dengan ego aku.
Akhirnya aku minta maaf bang. Seorang ‘raja’ meminta maaf kepada ‘rakyatnya’ dikhalayak umum. Minta maaf dengan ikhlas, dengan pandang mata dia dan menyatakan kekesalan. Apa yang aku dapat bang?
Tak ada tepukan gemuruh. Tak ada murid lain puji sikap aku. Tak ada hadiah diberi. Tapi murid yang aku minta maaf itu tersenyum puas. Dan aku? Aku rasa lega yang amat. Dapat menundukkan ego sendiri saat aku mampu menegakkannya dengan gah dan tanpa rasa bersalah.
Selepas kejadian itu, setiap kali aku ada buat salah pada murid, mudah bagiku menutur maaf. Tanpa perlu dipaksa-paksa, tanpa perlu berfikir panjang. Murid-murid aku, walau umur 7 tahun, mungkin ada sesuatu yang mereka boleh ingat dan pelajari untuk mereka jadikan panduan dan pedoman disepanjang perjalanan hidup mereka. Apa yang aku tunjuk dan ajar hari itu, tidak tertulis dalam mana-mana buku teks bang. Aku ajar mereka mendidik hati. Ya, mendidik hati.
Bang Zizan, semua orang tahu abang ni manusia. Tak ada seorang pun cakap abang ni malaikat. Jadi kenapa payah menutur kata maaf? Sedang semua maklum sifat manusia itu berbuat silap. Bang Zizan, aku bukan nak cakap hati aku baik sangat bang. Tapi sekurang-kurangnya jujurlah bang. Jujur dan akuilah kesalahan sendiri bang.
Bang, aku yakin, kalau abang minta maaf secara umum, dengan penuh makna dan ikhlas, masyarakat akan memahami. Dan ya bang, pembenci akan terus membenci. Tapi disamping kebencian mereka pada abang, pasti terselit sedikit rasa kagum dan respek. Kerana abang mampu akui kesalahan sendiri sebagai anak jantan. Yang sentiasa menyokong pasti bertambah sayang.
Tak rugi la bang. Tak rugi memohon maaf dari berdalih siap buat report polis macam tu. Tak luak harta abang waima sesen. Tak jatuh darjat abang di mata peminat. Sungguh!
Dah la bang. Panjang sangat dah aku menulis ni. Kalau ikut hati, ada beberapa perkara lagi aku nak hurai. Tapi cukup la bang. Lagi pun nasihat aku ni entah sampai entah tidak kat abang. Ye la, abang orang ternama, aku orang biasa-biasa je.
Dan lagi satu bang, kalau abang terbaca post ini, aku menyeru abang turut serta bersama aku dan Mak Jemah dalam menyebarkan cinta. Boleh cari kat post aku sehari dua lepas bang. Jom la bang, kita gembirakan anak-anak dari keluarga kurang berkemampuan.
Akhir sekali bang, semoga Allah didik hati kita agar lebih mudah tunduk saat kita mampu mendongak. Kerana kita hamba bang, dan hamba itu hina dimataNya bang kecuali orang-orang terpilih. Semoga kita menjadi orang-orang terpilih itu. Amin.
Sumber : Mohd Fadli Salleh
Tiada ulasan: