Suami Ego Setinggi KLCC, Ini Luahan Isteri
Loading...
Assalamualaikum semua. Saya takde apa-apa masalah yang besar pun cuma saya nak kongsi sedikit cerita tentang ego suami saya. Sebelum ni, kami berkahwin ketika saya masih belajar dan sepanjang saya belajar saya juga ada buat kerja sambilan dan buat bisnes online jual kosmetik. Suami tak pernah mendesak saya untuk saya membantu dia pun, tapi saya buat semua tu sebab nak sama-sama rasa susah senang bersama. Suami saya bukan kerja hebat. Suami saya cuma kerja atas motor berpanas hujan siang malam. Ramai yang kata saya bodoh sebab menerima lamaran suami sedangkan saya ni agak menjadi kegilaan ramai lelaki yang melebihi dari suami dari segi paras rupa dan pekerjaan.
Selepas belajar hampir setahun 5 bulan, akhirnya saya berjaya untuk konvokesyen. Suami sayalah yang banyak membantu saya ketika saya masih belajar. Pergi hantar dan jemput saya di kelas, sediakan duit makan, photostat, buku dan suami juga yang membayar duit yuran pengajian saya untuk beberapa semester tanpa meminta bantuan dengan sesiapa.
Selepas saya berkonvokesyen, saya diberikan keizinan untuk menganggur oleh suami untuk saya fokus pada rumah tangga walaupun hati saya meronta-ronta untuk bekerja dan membantu suami dan keluarga di kampung. Kata suami, dia masih mampu menanggung saya dengan duit gaji dan duit kerja sampingan dia yang lain yang saya boleh katakan agak mewah kerana suami sangat rajin bekerja.
6 bulan saya menganggur, akhirnya saya telah menerima tawaran bekerja. Apa yang saya cuba katakan tentang ego suami apabila saya menerima gaji pertama saya, saya ada bertanya kepada suami, berapa banyak duit yang perlu saya bagi kepada suami untuk kami sama-sama berkongsi bayar sewa rumah dan segala jenis bil, namun suami menolak pertolongan saya dengan baik. Suami katakan dia tidak memerlukan duit saya untuk saya membantunya sebab itu semua tanggungjawabnya. Suami beritahu bahawa gaji saya, saya boleh bagi pada mak ayah dan adik-adik di kampung. Saya sangat terharu kerana suami sudi berikan keizinan untuk saya berjasa pada ibu bapa saya.
Dan kemudiannya saya cuba untuk bagi duit upah pada suami kerana suami yang menghantar dan mengambil saya di tempat kerja. Sebelum ini kos minyak motor suami RM5-RM6 sehari, tetapi sejak saya mula bekerja, kos minyak motor suami menjadi RM10 sehari. Lagi pula saya kesiankan suami yang terpaksa menghantar dan mengambil dari tempat yang agak jauh dari tempat kerjanya. Namun suami juga menolak, katanya itu tanggungjawab dia untuk menghantar dan menjemput saya di tempat kerja dalam pada masa yang sama menjaga keselamatan saya di luar rumah. Ya Allah, saya sangat-sangat sebak apabila suami berkata begitu. Dan egonya makin tinggi, apabila walaupun saya sudah bekerja, sudah ada gaji sendiri, suami masih lagi menghulurkan duit belanja dan duit makan pada saya di tempat kerja.
Suami saya sangat ego. Dia menjaga air muka dan maruah dia sebagai seorang suami. Dia sangat malu andainya dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab dia sebagai suami dengan baik. Alhamdulilah, saya juga telah disahkan mengandung baru-baru ni. Suami sangat-sangat gembira dan saya boleh nampak keterujaannya dia membelikan saya susu anmum, susu kambing, kismis, jus delima supaya baby sihat. Saya sungguh terharu.
Ego suami makin tinggi apabila dia langsung tidak bagi saya buat kerja dan masak. Disuruhnya saya rehat dan katanya dia mampu buat kerja rumah seorang diri tanpa bantuan saya. Kadang-kadang saya tersenyum seorang diri dengan keegoan suami.
Saya tidak mengharapkan apa-apa dari suami, saya cuma berharap Allah lindungi suami, panjangkan umur dan murahkan rezekinya kerana sampai bila-bila pun saya akan cintakan si lelaki ego setinggi KLCC. Terima kasih.
Tiada ulasan: