17 Amalan Khurafat Yang Popular Di Kalangan Jemaah Malaysia Semasa Di Tanah Suci Mekah
Loading...
Mengunjungi Baitullah untuk menyempurnakan pekerjaan haji menjadi suatu cita-cita murni yang sepatutnya wujud pada tiap-tiap diri umat Islam. Pada kelazimannya orang yang belum lagi hendak melaksanakan kewajipan tersebut, mereka tidak sangat bersedia dengan ilmu pengetahuan sebagai bekalan untuk ibadat tersebut. Apabila hampir dengan waktunya barulah secara bergopoh-gapah mempelajarinya mengikut kemampuan yang ada padanya.
Banyak umat Islam yang kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk mengerjakan haji, malah ada yang tidak memahami walaupun perkara-perkara yang asas, akibatnya apabila mereka mengerjakan ibadat tersebut, terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan kesempurnaan ibadat tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka terikut-ikut dengan perbuatan jemaah yang kurang arif tentang ibadat itu dan malu hendak bertanya kepada orang lain.
Di samping tidak mendalami hukum hakam mengenai haji, ditambah pula dengan kejahilan hukum-hukum mengenai akidah, maka berlakulah campur aduk di dalam ibadat haji di antara yang hak dengan yang batil. Kadang-kadang yang hak ditinggalkan dan yang batil dikerjakan. Yang batil seperti amalan-amalan khurafat dikerjakan sebaik-baiknya, atas kefahaman bahawa amalan-amalan itu dituntut oleh syarak, sedangkan yang sebenarnya sebaliknya.
Sering berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak yang dicampurkan di dalam ibadat haji, terutama khurafat-khurafat yang diada-adakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka memberi fatwa secara berbisik-bisik tanpa menggunakan sebarang kitab atau kenyataan-kenyataan dari nas-nas yang muktabar tentang perkara yang dibisik-bisikkan itu. Akhirnya amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan turun temurun dari dahulu hinggalah sekarang. Oleh yang demikian, maka diajarlah kita membicarakan perihal khurafat tersebut.
Khurafat di kalangan jemaah haji Asia Tenggara
Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih kehadapan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam perniagaan masih percaya kepada FONG SUAI. Dalam pertanian masih percaya kepada semangat padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gamala ikan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat, ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.
Khurafat di tanah air sendiri sebelum tiba di tanah suci
1. Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.
2. Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah
3. Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
4. Setelah balik nanti mesri berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut idah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.
Khurafat di tanah suci
- Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.
- Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.
- Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.
- Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.
- Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan, jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris.
- Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
- Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
- Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
- Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
- Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.
- Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.
- Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.
- Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.
- Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.
- Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
- Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.
- Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami.
Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.
Amalan khurafat dan kaitannya dengan hukum syarak
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.
Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyuci diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur. - Harakahdaily / Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din
Tiada ulasan: