Menurut Kajian, Lelaki Curang Lebih Cepat Mati
Loading...
Saya teringat kepada Osman (bukan nama sebenar) tatkala menatap tajuk satu rencana dalam surat khabar kelmarin, Curang Punca Sakit Jantung. Sebabnya, dia pernah mengadu, sejak kantoi kes hubungan gelap, gerak gerinya tidak lagi bebas.
“Aku bagi makan ikan akuarium di luar rumah pun disoal macam suspek pecah rumah. Kononnya aku berlakon supaya boleh keluar untuk contact girlfriend. Cuci kereta, gosok lama sikit di bahagian bontot dan isteri aku tak nampak, cepat saja dia melaung, buat apa tuuuuuu????
“Boleh sakit jantung aku macam ni,” katanya. Itu cerita Osman. Namun apabila rencana itu saya baca habis, saya dapati ceritanya lain. Osman belum tidak sampai ke tahap itu
Menurut rencana yang mengulas laporan Journal of Sexual Medicine itu, kajian Universiti Florence, Itali mendapati kecurangan lelaki yang sudah berkahwin boleh meningkatkan risiko serangan jantung lapor Sinar Harian.
Sudah banyak kes dilaporkan, ramai lelaki meninggal dunia ketika melakukan hubungan seks dengan teman wanita mereka.
Dan tidak ada pula laporan mereka yang temui ajal ketika bertukar-tukar cenderamata dengan isteri. Sebabnya apa? Satu kajian di Jerman menyatakan, lelaki yang menghadapi masalah kardiak (berkaitan jantung) berhadapan risiko tinggi serangan apabila melakukan hubungan seks dalam keadaan tidak tenang.
Banyak keadaan untuk dikaitkan sebagai punca mengapa mereka tidak tenang. Antaranya ialah ‘kerja keras’ yang terpaksa dilakukan untuk memuaskan pasangan. Oleh kerana kajian itu berkait dengan lelaki yang berkahwin, yang agak berusia dan pasangan pula mungkin jauh lebih muda, maka kerja keras itu perlulah dilipat ganda. Ini tentunya akan meningkatkan juga degupan jantung secara drastik.
Keadaan tidak sama dengan situasi mereka melakukan hubungan dengan isteri yang sebaya. Tuntutan dan kehendak pasti berbeza antara yang berusia dengan yang lebih muda.
Kerja keras yang dipaksa dan tidak sepadan dengan kemampuan fizikal boleh menyebabkan arteri tersumbat, dan berisiko untuk pecah. Mengikut rekod perubatan, gejala arteri tersumbat adalah satu pertiga daripada punca kematian.
Kerana itu berwaspadalah. Bukan tidak boleh cari pucuk muda tetapi biarlah kemampuan sepadan dengan kehendak. Jangan kail panjang sejengkal dibawa ke lautan dalam.
Jangan depa sepemeluk nangka mahu diukur perdu durian. Usia yang di luar dan yang di dalam jangan sekata. Biarlah zahirnya sahaja 70, tetapi yang batinnya 20. Penjagaan yang kesihatan sempurna, ilmu yang mantap, sebutlah Tajul Muluk atau Kama Sutra, semua petua ada dalam kepala. Itu akan menjadikan seseorang itu pria terhebat, biar pun usia sudah senja.
Saya pernah diberitahu seorang kawan di pejabat kadi mengenai kes wanita 21 tahun minta cerai daripada suaminya yang berumur 71 tahun. Bukan sebab suaminya tidak kuat tetapi terlebih kuat. Setiap hari paksa bertukar cenderamata sampai berkali-kali. Apa pun, jangan buat secara gelap. Hubungan halalan toiyyiban membawa ketenangan lahir dan batin.
Di negara kita, zina tidak sebebas negara Barat, tekanan yang dihadapi tentu lebih tinggi. Mereka yang terlibat melakukannya dalam keadaan tidak tenang kerana takutkan pencegah maksiat. Berbalik kepada Osman, saya percaya dia tidak terlibat hingga ke tahap itu.
Dia tertekan kerana gerak-gerinya tidak sebebas dahulu. CCTV isterinya ada di mana-mana, di akuarium dan di bontot kereta. Osman suami yang baik.
Cuma dia terlanjur pernah ada cinta kedua. Itu pun katanya, sebab tak sampai hati hendak ditolak, tak tergamak hampakan hajat orang.
Itu kata dialah!
Suami orang yang ada kekasih gelap memang selalu tertekan. Mana tidaknya, dengan telefon tidak berenggang siang malam. Tercicir telefon di mana-mana, seperti hilang duit berjuta. Bukan nilai atau harga telefon itu yang jadi punca. Yang dibimbangkan kalau-kalau ada panggilan, atau SMS yang masuk ketika telefon bukan di tangan. Bayangkan kalau siang malam, 24 jam hati tidak tenang, yang sihat pun boleh pitam. Namun jika diadu kepada sesiapa bukan simpati yang diperoleh, bukan belas kasihan yang diberi sebaliknya perli dan umpat keji.
Itulah… Tak ada penyakit cari penyakit. Dah tahu bini garang macam singa, ada hati nak main betina. Sekarang, sendiri tanggunglah bro, hehehe…” Bertambah pula sakit hati, lagilah cepat mati! Kerana itu, lelaki curang masih perlu dihormati. Kajian itu membuktikan mereka adalah pencinta sejati. Jika tidak, masakan mereka sanggup mengorbankan nyawa demi cinta.
Tiada ulasan: