HANTARAN MAHAL , NAK MAKAN APA LEPAS KAHWIN?
Loading...
Lepas kahwin nak makan apa kalau hantaran RM15,000? | ALAM perkahwinan adalah suatu yang indah dan menjadi idaman setiap insan di atas muka bumi ini. Apabila mengenangkan saat-saat bahagia, pasti ramai membayangkan perkahwinan yang indah dan mewah bersama pasangan.
Meskipun perjalanan untuk ‘menjadi yang halal’ adalah satu proses yang teruja dan mendebarkan, tidak dinafikan, ada dalam kalangan kita menempuhnya dengan penuh cabaran dan kesusahan.
Baru-baru ini penulis didatangi seorang rakan yang sedang dalam proses untuk menyunting si dara sunti.
Mendengarkan khabar tentang ikatan pertunangan baharu sahaja dimeterai, penulis bersama sahabat lain lantas mengucap tahniah disertai usikan nakal terhadap si teruna yang bakal mendirikan mahligainya pada tahun hadapan.
Meskipun khabar tersebut disampaikan dengan nada gembira, wajahnya sedikit redup tidak dapat disembunyikan daripada penulis dan rakan-rakan kami yang lain lapor Sinar Harian.
Hantaran RM15,000: Lepas kahwin nak makan apa? |
“Dah nak kahwin pun muka ‘teduh’ lagi? Apa masalahnya?,” kami semua mengasak soalan.
Si bakal mempelai, Firdaus (bukan nama sebenar) diam sebentar sebelum melepas keluhan panjang. Mukadimahnya membuatkan kami semua hilang kata-kata dan buntu.
Kata Firdaus, keluarga cik tunang meminta hantaran tinggi, melebihi jangkaan si sahabat kami ini.
“Keluarga dia minta RM 15,000 untuk hantaran,” balas Firdaus selepas kami mendesak bertanyakan perihal tersebut.
Kami tergamam dan terdiam. Bagi kami, ini seolah-olah misi bunuh diri!
Masing-masing berpandangan sesama sendiri. Jelas tidak menyangka beratnya beban yang ditanggung rakan kami ini.
“Keluarga kau letak hantaran berapa?,” soal Firdaus kepada penulis.
“Eh… Mak ayah aku tak kisah.. Ikut kemampuan katanya. Asalkan tak menyusahkan dua-dua (penulis dan encik tunang) selepas kahwin nanti.
“Mak ayah aku nak kahwinkan aku aje… bukan nak jual aku,” seloroh penulis sambil tersengih.
Belum sempat Firdaus membuka mulut membalas kata-kata penulis, seorang sahabat kami, Afwan (bukan nama sebenar) mencelah perbualan.
“Perempuan tu (tunangan Firdaus) kerja apa? Tinggi sangat hantarannya,” soal Afwan seolah-olah tidak puas hati.
“Dia study (belajar) lagi. Lambat lagi nak habis, lagi dua tahun baru habis belajar,” kata-kata balas Firdaus membuatkan kami semua bertambah terkejut.
Lantaran itu, kami menasihatkan Firdaus untuk mempertimbangkan semula pilihan hatinya itu.
Yalah, tidak dinafikan, cinta itu sememangnya indah. Bila bercinta, hanya nampak yang cantik segalanya tentang si dia.
Tetapi jangan dilupakan, cinta itu juga buta, esok bila sudah kahwin, duit pun sudah habis licin, maka bermulalah episod peperangan “Star Wars” antara suami dan sang isteri dari siang hingga ke malam.
Menurut Firdaus lagi, wang hantaran itu sebaiknya perlu diserahkan sekurang-kurangnya lima bulan sebelum majlis perkahwinan berlangsung.
Jelasnya, sebahagian daripada wang hantaran itu nanti akan digunakan oleh keluarga si perempuan bagi mengurus segala urusan melibatkan majlis persandingan di pihak perempuan.
Kami bertambah pening. Bukankah tanggungjawab mengahwinkan si wanita itu terletak penuh pada ayahnya?
“Barang hantaran dia (cik tunang) aku yang kena sediakan, set bilik tidur untuk majlis sebelah dia pun aku yang kena carikan, itu tak termasuk urusan kahwin sebelah aku lagi. Lepas kami berkahwin, aku terpaksa cari rumah sewa sebab keluarga dia tinggal di Negeri Sembilan dan dia hanya menyewa dengan rakan dan belajar di sini,” kata Firdaus sambil mengeluh.
“Kenapa tak buat yang wajib saja?,” soal seorang lagi rakan kami, Hatta (bukan nama sebenar).
“Aku dah cakap, ayah dia tak mahu,” balas Firdaus seolah-olah putus asa.
Jenuhlah kami semua mencari jalan penyelesaian bagi membantu Firdaus merungkai permasalahannya.
“Tak apalah, lepas kahwin mungkin boleh jimat sikit sebab aku boleh bawa barang-barang yang sedia ada (di rumah sewanya) dan gunakan di rumah sewa baru,” ujar Firdaus.
“Barang apa yang boleh dipindah ke rumah baharu?” tanya Hatta.
“Aku bawa barang-barang aku…Pakaian dan TV aku.. Dah jimat dah, tak perlu beli TV baru,” jawab Firdaus.
“Habis tu, tak kan bini (isteri) kau nak gigit TV je bila dia lapar?” sindir Hatta lagi.
Firdaus terdiam. Bungkam dengan kata-kata rakan kami. Tidak dinafikan, hujah Hatta itu ada benarnya.
“Macam mana kau deal (berhadapan) dengan semua ni?,” soal Firdaus kepada penulis.
Meskipun bakal berkahwin pada pertengahan tahun hadapan, penulis tidak menghadapi masalah serumit Firdaus memandangkan keluarga penulis dan pasangan hanya menitikberatkan perkara-perkara wajib sahaja.
Yang membazir, tolak ke tepi! Esok bila sudah kahwin, kita dan pasangan juga merana bila duit tak ada!
“Kad kahwin kami beli kertas, cetak sendiri. ‘Doorgift’ pun tidak perlu. Tak ada yang mewah pun, baju kahwin hanyalah baju kurung moden biasa. Buat seringkas mungkin. Tidak perlu membazir. Ikut kesesuaian dengan bajet,” balas penulis ringkas.
Firdaus mengeluh lagi. Kami cuba mencadangkan supaya sahabat kami ini menangguhkan perkahwinannya sehingga cik tunang tamat belajar dan memperoleh pekerjaan terlebih dahulu, bagaimanapun cadangan itu ditolak mentah oleh Firdaus dengan mengatakan, bapa si gadis mahu perkahwinan dipercepatkan.
Menurut Firdaus lagi, dia hanya mampu menyediakan RM10,000 untuk perbelanjaan perkahwinannya dan mungkin akan membuat pinjaman daripada bank untuk membiayai kos perkahwinan selebihnya.
“Kalau ada RM10,000, kena tambah lagi RM 5,000 untuk hantaran sebelah perempuan. Itu tak termasuk lagi set bilik tidur dan set hantaran yang mencecah sekurang-kurangnya RM 5,000. Kos untuk beli cincin, RM800.”
Bermakna Firdaus kena sediakan sekurang-kurangnya RM 21,000 untuk sebelah perempuan sahaja. Untuk perbelanjaan kahwin sebelah Firdaus, sekurang-kurangnya RM 10,000 termasuk perbelanjaan kenduri dan hantaran.
“Itu tak dikira lagi persediaan untuk menyewa rumah, dengan kos barang-barang nak masuk rumah. Tak kanlah kau dengan isteri nak makan pasir saja? Lepas kahwin, kau sendiri nak kena tanggung semua perbelanjaan isteri yang masih belajar. Memanglah tak dinafikan, rezeki selepas kahwin itu ada.
“Tapi kita juga tak boleh nafikan yang sekurang-kurangnya bila isteri bekerja, beban mengurus perbelanjaan rumah tangga boleh dikurangkan dengan bantuan isteri. Ini zaman GST, zaman minyak naik, tol naik. Kita kena hadapi realiti di mana kita akan perlukan bantuan isteri untuk imbangi urusan rumah tangga dengan baik. Lebih-lebih lagi bagi yang baru berkahwin,” Afwan ‘berceramah’ panjang lebar.
Kami yang belum berkahwin hanya diam dan mengangguk faham. Kasihannya si lelaki, niat di hati untuk menghalalkan sang puteri, sepatutnya urusan itu dipermudahkan, bagaimanapun adat Melayu menyulitkan keadaan.
Bagi penulis, nilai hantaran itu biarlah diletakkan pada nilai yang berpada-pada. Janganlah dibiarkan anak dan bakal menantu itu jatuh miskin dan papa sebelum ‘aku terima nikahnya’ dilafazkan.
Mungkin bagi sesetengah ibu bapa, nilai hantaran tinggi itu dianggap seumpama KPI (kayu ukur) yang diletakkan kepada bakal menantu di mana sekiranya bakal menantu berjaya membayar nilai hantaran yang dikenakan, bermakna anaknya akan hidup bersenang-lenang di kemudian hari bersama si bakal menantu.
Tidakkah kita terfikir, bahawa perbelanjaan perkahwinan yang tinggi sehingga mencecah puluhan ribu itu jugalah yang menyebabkan perjalanan rumah tangga terganggu di kemudian hari?
Semoga perjalanan menuju ke mahligai bahagia untuk Firdaus dipermudahkan…
Tiada ulasan: