Header Ads

Loading...

“Saya Tak Mahu Makan Banyak, Takut Helikopter Tak Boleh Naik”

Loading...
IPOH – “Saya tak mahu makan banyak, takut helikopter tak boleh naik,” itu antara gurauan akhir Anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad sebelum pesawat dinaiki hilang petang semalam.

Gurauannya itu dikongsikan Ketua Puteri UMNO Kuala Kangsar, Nurul Azni Bani Ami yang menyertai satu program dihadiri Wan Mohammad Khair-il selaku Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Betong, Sarawak lapor Bernama.

(Update: Mayat Kelima Nahas Helikopter Di Sarawak Ditemui)

Gurauan Mangsa Nahas Helikopter, Tak Mahu Makan Banyak
Anggota Bomba dan Penyelamat menemui mangsa pertama tidak jauh dr lokasi serpihan helikopter jenis Eurocopter AS350 Ecuril yang ditemui di hulu Sungai Batang Lupar 15 km dari jeti Sebuyau, kira-kira jam 9.50 pagi tadi. - Foto NSTP/IHSAN BOMBA

“Semasa jamuan makan selepas majlis itu, beliau (Wan Mohammad Khair-il) enggan makan banyak sebab takut helikopter berat. Sehingga kini gurauan itu masih terngiang-ngiang di telinga saya,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

“Saya Tak Mahu Makan Banyak, Takut Helikopter Tak Boleh Naik”
Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang media di Kuching pagi ini mengesahkan Mohammad Khair-il adalah antara enam penumpang pesawat Eurocopter AS350 yang hilang dari radar semalam dan ditemui serpihannya pagi ini.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Dr. Sundaran Annamalai turut berada di dalam helikopter berkenaan.

Helikopter itu berlepas dari Betong, pada 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang.

Menurut Nurul Azni, Mohammad Khair-il sepatutnya menaiki helikopter yang lain, namun disebabkan juruterbang pada ketika itu tiada maka beliau telah diajak oleh Noriah untuk terbang bersamanya.

“Disebabkan beliau mengejar penerbangan ke Kuala Lumpur yang dijadualkan pada pukul 9 malam (Khamis), maka Mohammad Khair-il terpaksa menumpang helikopter Noriah supaya sampai cepat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya.

Beliau berkata walaupun Perdana Menteri mengumumkan penemuan serpihan helikopter malang itu, namun seluruh keluarga UMNO Kuala Kangsar masih berdoa dan berharap wakil rakyat mereka selamat.

Sementara itu, Exco Wanita UMNO Malaysia, Datuk Jamelah A. Bakar menyifatkan Mohammad Khair-il sebagai seorang yang sangat rajin bekerja, positif dan sentiasa berusaha memastikan rakyat memahami aspirasi kerajaan.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah minggu lalu dan seperti biasa beliau seorang yang sentiasa ceria,” katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Bernama.


Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.